Bila duduk menumpang
Wednesday, July 09, 2014
Assalammualaikum. Mulakan harimu dengan senyuman. Bagaimana dengan ibadah puasa? Moga bertambah baik hendaknya, insya-ALLAH.
Baik. Seperti yang dijanjikan, hari ini Muthiah ingin berkongsi 'rasa hati seorang nenek' untuk renungan bersama. Namun sebelum itu, Muthiah ingin mohon maaf andai apa yang Muthiah coretkan ini mengguris hati sahabat-sahabat.
Sudah dua kali Muthiah menziarahi wanita ini (Muthiah sebut juga sebagai M) dan setiap kali itulah beliau meluahkan perkara yang sama ~ Berasa tidak senang dengan sikap/ tingkahlaku cucunya (laki-laki) yang duduk dengannya. M yang Muthiah kenal adalah seorang yang sangat teliti. Rumahnya dihias cantik dan bersih. M juga pandai memasak (Eh, apa kaitan dengan kisah ini? Ehe). Namun, cucunya tidak membantu dalam banyak hal. Bak kata suami, "Jangan buat rumah orang macam rumah ibu ayah sendiri."
Iyalah. Di rumah keluarga, dia menjadi 'raja'. Bangun lewat, emak bebel sekejap sahaja namun makanan tetap terhidang di atas meja. Baju dibasuh, dijemur dan dilipat juga. Bebel itu... masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, tidak memberi impak apa-apa. Berlainan sekiranya duduk di rumah sewa, dia menjadi 'macam-macam ada'. Bangun lewat, mungkin rakan serumah tidak marah (melainkan ada duty kena buang sampah dll pada hari itu). Namun tidak basuh pinggan yang digunakan atau membuang sampah merata-rata, silap hari bulan kena 'sembur' pun ada.
Berbalik kepada kisah M tadi. Rasa tidak selesanya bagi Muthiah bersebab. Bilik cucunya tidak berkemas. Bilik air yang digunakan tidak dibersihkan. Lagi luah M, "Satu sen pun tak pernah bagi!" Beli handphone baharu dan tukar accessories motosikal, boleh pula. Muthiah terkedu lantas bertanya sama ada M mengadu atau tidak kepada ibu ayah cucunya (iaitu anak M sendiri). Cakap belakang tidak ke mana hasilnya. M beritahu, dahulu ada tetapi apabila diluahkan lain pula jadinya. Anaknya terus menuduh M bukan-bukan. Sejak itu, M diamkan diri sahaja. Mungkin dipendam rasa hati sendiri.
Entahlah. Muthiah hanya mendengar dari sebelah pihak. Muthiah tidak menahu apa masalah sebenar yang dihadapi. Entah. Entah. Entah. Itulah. Tuan rumah tidak tahu apa yang kita buat malam tadi. Tuan rumah juga tidak menahu kalau kita kopak duit (sebab itu tidak mampu beri sedikit wang). Tuan rumah tidak faham apa yang kita hadapi blablabla... Muthiah cuba melihat dari sisi kedua belah pihak. Nenek yang usianya sudah melangkau 60 tahun dan cucu yang berumur awal 20-an.
Okey. Dipendekkan cerita. Apa yang boleh dilakukan?
- Ibu ayah mungkin boleh ambil tahu pasal anak-anaknya yang duduk menumpang di rumah sesiapa (tidak kira nenek/ datuk, adik-beradik, emak/ ayah saudara dll). Tegurlah anak yang telah melakukan kesalahan. Apabila tuan rumah mengadu pasal anak (dll), cuba siasat. Jangan terus menuduh tuan rumah dengan tanggapan yang bukan-bukan. Mungkin tuan rumah salah tetapi mungkin juga apa yang diperkatakan ada benarnya.
- Duduk di rumah orang, buatlah macam duduk di rumah orang. Hormati hak tuan rumah. Takut kita bukan setakat mengganggu privasi tuan rumah tetapi juga mendatangkan ketidak selesaan tuan rumah.
- Ada duit, hulurlah sedikit. Beri ikut kemampuan. Ada banyak, beri banyak. Ada sedikit, beri sedikit. Bayangkan kalau kita duduk menyewa. Kena bayar sewa rumah, bil itu ini, duit makan blablabla. Usah sekali-kali menyambil kesempatan atas diamnya tuan rumah. Lagipun, mungkin dengan pemberian kita itu dapat menyenangkan hati tuan rumah. Tuan rumah pun jadi tidak berkira (bodek ke ni?).
- Ringankan tulang membantu. Bantu sapu sampah, mop rumah, masak, buang sampah dll. Walau kita bekerja dan tuan rumah tersebut suri rumah sepenuh masa, tidak bermakna kita boleh goyang kaki. Tuan rumah sekali-kali bukan maid kita.
- Oh, ya. Satu lagi, jangan jadikan rumah yang kita tumpangi itu bak hotel. Lampu bilik yang tidak digunakan tidak ditutup. Tuala yang dipakai diletak merata-rata sampai tuan rumah kena tutupkan lampu dan kutip pakaian kita pula. Kalau hotel, berbayar tetapi tidak di sini. Kiki...
Catatan berdasarkan respons luahan M.
#SesuatuYangMungkinKitaLupa
#CatatanBerkaitan - Aku bukan orang gaji!
Muthiah : Pernah menumpang di rumah pak cik selama 2 bulan sebab air tidak ada!
Akan datang - Karya klise.