Pau (ii)


Sebenarnya, Muthiah teringatkan seorang teman (temankah?). Teman yang menyedarkan Muthiah tentang realiti kehidupan. Tidak semua orang di atas muka bumi Allah ini baik dan ikhlas. Tidak terkecuali yang suka mengambil kesempatan. Jadi, usah terkejut apabila berhadapan dengan kaki bohong, kaki tipu, kaki maki dan kaki ampu.

Dahulu… setiap kali menyebut namanya, kemarahan Muthiah akan membuak-buak. Sehinggakan suami tidak lagi mahu melayan apabila Muthiah berbicara tentangnya. Muthiah tahu, suami tidak mahu Muthiah menyimpan dendam, melayan perasaan dan memendam rasa benci terhadap orang lain namun… selaku manusia yang lemah… kadang-kadang, sering-kali nafsu menguasai diri.

Sekarang… Alhamdulillah, perasaan marah itu semakin menghilang walaupun sakit hati tetap datang sekali-sekala. Muthiah cuba untuk sentiasa bermuhasabah.

1) Teman itu juga adalah manusia biasa. Ada waktu jahilnya. Ada waktu ‘jahat’nya. Ada waktu ia terlupa. Begitu juga dengan diri Muthiah. Bilamana iman jatuh, nafsu sering kali menguasai diri. Ada juga berbuat salah. Ada menyakitkan hati orang dalam sedar mahupun tidak.

2) Siapa kita sebenarnya untuk membenci dan berdendam? Tidak akan ke mana juga. Hati makin sakit, adalah. Kita tidak untung apa-apa kalau menyimpan perasaan itu. Orang yang pernah membuat naya pun tidak rugi apa-apa dengan kebencian yang menggelodak di dalam hati kita. Jadi, buanglah perasaan itu sedikit demi sedikit. Hendak buang sekaligus, takut tidak terbuang pula.

3) Serah sepenuhnya penghitungan kepada Allah. Allah Maha Adil. Allah Maha Saksama. Tidak perlu mengharapkan sesuatu yang tidak baik kepadanya. Ingat! Allah lebih tahu. Muthiah? Pernah juga terluka dengan sikap/ anggapan orang lain (orang yang tidak suka, sakit hati atau membenci, mungkin). Sedih… Tuhan sahaja yang tahu. Kalau ikutkan hendak menangis, kering sudah air mata tetapi tatkala Muthiah memikirkan keadilan dan kesaksamaan Allah, Muthiah kembali tenang. Muthiah berusaha untuk menyerahkan segalanya kepada Allah. Allah lebih arif dengan segala sesuatu. Biarkan sahaja si luncai terjun dengan labu-labunya.

4) Letakkan diri kita di dalam kasut orang yang berbuat silap itu. Setelah sedar dan insaf, kita pasti mahukan kemaafan daripadanya. (Yang tidak mahu insaf??? Serah sahaja kepada Allah). Kalau ia diam seribu bahasa, tentu kita akan menjadi tidak tenteram dan diselubungi perasaan bersalah. Jadi, bersedialah untuk sentiasa memaafkan. Moga-moga, orang lain juga akan mudah memaafkan diri kita tatkala kita melakukan khilaf.

5) Berlapang dada dengan kekurangan milik orang lain. Lagipun, kita pun sebenarnya terlalu banyak kelemahan juga. Kita tidak akan berdaya memuaskan hati semua orang. Kita tidak ada kuasa untuk membuatkan orang lain menyukai dan menyayangi kita. Bukan kita yang memegang hati-hati manusia. Justeru, berdoalah kepada Allah agar sentiasa diberi kekuatan dalam mendepani segala ujian yang mendatang.

Apa lagi, ya? Hmmm… sudah tepu. Nanti, Muthiah sambung lagi.

Mikami – ‘Mengambil hak orang lain tanpa kebenaran adalah mencuri.’
Misaki Youku – ‘Mengambil tanpa pengetahuan pemilik adalah meminjam.’

Muthiah : Hmmm….
Labels: | edit post
0 Responses