Izinkan mereka berdikari…


Cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini, Muthiah telah bertemu dengan seorang teman lama yang sudah berumah tangga selama lebih setengah tahun. Oleh sebab banyak orang, kami tidak dapat berbual panjang namun kesempatan yang ada, ia tetap sempat meluah rasa.

Katanya, ia berada dalam keadaan tertekan waktu ini. Kenapa?

Walaupun sudah menjadi isteri orang, dirinya masih berada di bawah kawalan ibu dan bapa. Menurut teman Muthiah lagi, ia dan suami mahu tinggal berasingan daripada keluarga (hendak berdikari) tetapi tidak mendapat keizinan keluarga. Ia tertekan melihat suaminya yang tidak selesa bahkan…

Contoh situasi ~

Kalau mereka suami isteri hendak keluar ke mana-mana, perlu meminta izin daripada bapanya terlebih dahulu. Rasa terkongkong! Tertekan! Tertekan sungguh.

Pernah satu ketika, ia dan suami berhadapan dengan masalah kewangan (maklumlah… masing-masing baru hendak membina karier. Biasalah). Menurut teman Muthiah, masalah ini sebenarnya tidaklah sebesar mana tetapi apabila diketahui oleh ahli keluarga, permasalahan menjadi semakin besar dan rumit. Riuh jadinya. Semakin stres dibuatnya. Boleh jadi berasa malu dan segan.

Berkali-kali teman Muthiah ini mengungkap luahan yang sama. Walaupun suaminya nampak boleh bersabar, teman Muthiah ini tetap berasa serba tidak kena.

Hmmm… kasihan tetapi Muthiah pun tidak berdaya untuk membantu apa-apa. Silap cakap, takut jadi benda lain pula. Lagipun, Muthiah juga masih lagi mentah. Banyak yang perlu dipelajari daripada orang lama.

Akan tetapi, Muthiah pernah terbaca catatan kaunselor tentang hal ini :

1- Bagi ibu dan ayah, berilah peluang si anak berdikari dengan kehidupan barunya. Memang, ibu dan ayah lebih mengetahui/ kenal dengan anak yang telah dibesarkan sekian lama tetapi sekiranya ibu dan bapa tidak mengizinkan mereka mencuba, bagaimana mereka mahu belajar? Mereka sebenarnya akan belajar daripada kesilapan/ pengalaman. Peranan ibu dan ayah adalah sebagai penunjuk jalan (yang boleh diikuti oleh sang anak).

2- Percayalah kepada anak sendiri. Keyakinan dan kepercayaan ibu dan ayah adalah doa buat mereka. Sekiranya mereka sendiri tidak yakin dan percaya, bagaimana si anak boleh/ mampu melakukannya? Berdoalah agar si anak dapat mengharungi kehidupan baru itu dengan hati waja.

3- Izinkan si suami (anak tadi) membuktikan kemampuannya selaku seorang ketua keluarga. Memang! Tidak ada ibu dan ayah yang mahukan anaknya hidup menderita/ susah namun sekiranya ia sudah bersedia untuk belajar, izinkan dia belajar. Khuatir, ego suami si anak tadi tercabar dan memberi kesan negatif kepada rumah tangga mereka sendiri.

4- Bersedialah untuk ‘melepaskan’ anak (yang telah hidup bersama selama 24/ 25/ 26/ 27 tahun) bersama teman baru mereka. Melepaskan bukan bererti membiarkan/ memutuskan perhubungan tetapi izinkanlah ia membina hidup baru bersama insan yang disayanginya. Percayalah dengan kemampuannya. Kalau masih tidak yakin, pantaulah ia. Nasihatilah dia dengan hikmah.

5- Bagi si anak, cubalah berbincang dengan ibu dan bapa sebaiknya. Kalau masih menemui jalan buntu, bersabarlah. Bersangka baiklah kepada keduanya. Mereka terlalu sayangkan kita sebenarnya. Kadang-kadang, mereka terlupa bahawasanya kita sudah dewasa. Ibu dan ayah itu sering kali menganggap anaknya bagai budak kecil yang sentiasa membutuhkan perhatiannya. Banyakkan berdoa kepada Pencipta.

Moga… kita semua kan terus bersabar dalam apa jua rintangan yang datang dalam kehidupan kita.

Muthiah : Banyak bersabar demi kebaikan semua…
Labels: | edit post
0 Responses