Ego
Thursday, April 01, 2010
Kubiar kalam berbicara. Meluahkan rasa hati yang membara. Marah, benci, kecewa namun tidak dapat kunafikan rasa cinta yang masih lagi subur di dalam jiwa. “Uhibbuki fillah, ya ukhti,” aku berkata sendiri.
Wajah Ukhti Ida berlegar-legar di dalam kotak pemikiranku. Sekejap-sekejap ia tersenyum memandangku, sekejap-sekejap ia berwajah sayu. Aku pun tidak mengerti. Siapakah yang bersalah tetapi hatiku benar-benar sakit. Aku kecewa dengan persahabatan ini. Tidak adil dan berat sebelah. Hina sangatkah diriku sehingga dianaktiri oleh… oleh murabbiah sendiri?
“Abe tahu ayang rindukan mereka,” kata suamiku satu malam. Aku hanya diam. Hendak kunafi, jauh di sudut hati aku merindui mereka… Ukhti Ida, Ukhti Zue, Ukhti Sue, Azie dan Hada sentiasa hadir dalam mimpiku. Namun, untuk aku mengiyakannya, tidak sama sekali. Ukhti Ida yang aku sayangi tidak adil terhadapku dan mereka semua tidak kasihkan diriku. Adakah benar Ukhti Ida tidak adil atau aku yang terlalu cemburu? Cemburukan keprihatinan yang diberikannya buat teman-temanku lainnya. Argh!!!! Aku benci dia!
“Abe rasa ayang ego ke?” Aku bertanya kepada suamiku yang sedang memandu kereta Kancil SE. Diam… tidak ada jawapan yang terpacul dari bibirnya.
“Ayang yang salah atau mereka?” Tanyaku lagi. Aku memandang tepat suamiku yang begitu fokus dalam pemanduannya.
“Mungkin silap faham…” suamiku berkata pendek.
“Mungkin sahaja ayang salah faham dengan kasih sayang mereka…”
“Mungkin sahaja ayang terlalu sensitif…”
“Mana ada!” Sampukku.
“Afwan, be,” segera kucapai tangan kanan suamiku lantas menciumnya. Aku tersalah meninggikan suara kepadanya. Bagi seorang anak, berkata ‘ah’ pun ditegah Tuhan inikan pula aku seorang isteri. Khuatir dikatakan sebagai isteri derhaka dek keterlanjuranku berkata-kata.
“Abe maafkan ayang dunia akhirat,” ia berkata sambil tersenyum.
“Iblis laknatullah dicampak keluar dari syurga dek ego yang menebal dalam diri. Mereka sombong dan angkuh, bukan kepada Adam tetapi Allah yang mencipta dan menjadikan mereka,” panjang lebar suamiku menyampaikan tazkirah ‘Maghrib’nya. Aku tersenyum manja lantas melentokkan kepalaku di bahunya.
“Elok-elok, abe drive ni,” katanya perlahan.
“OKlah, ayang nak lelap kejap,” segera kupejamkan mata yang tidak mengantuk. Wajah teman-teman hadir terngiang-ngiang dalam mindaku. ‘Ukhti…’ aku berkata sendiri.
“Selamat hari jadi, Hada,” kata Ukhti Zue, Ukhti Sue dan Azie serentak.
“Moga panjang umur, murah rezeki dan diberkati Allah selalu, insya-Allah,” Ukhti Ida menambah.
“Terimalah hadiah yang tak seberapa daripada kami ni,” Azie berkata riang.
“Kek ni Ukhti Sue yang pilih,” sambungnya lagi sambil tersenyum.
“Adik???” Ukhti Ida tiba-tiba menegurku yang sedari tadi membisu.
“Kenapa tak raikan sekali hari gembira akhuwat?” Ia bertanya lagi.
Rai? Aku hendak meraikannya bersama mereka? Sebagai teman, harus prihatin terhadap temannya yang lain. Lebih-lebih lagi bilamana ia berkait dengan hari pentingnya. Bukankah bagi seorang gadis, hari kelahiran itu merupakan hari yang paling bermakna untuk diingati?
Ya, aku mahu meraikannya tetapi kenapa hanya hari penting mereka yang diingati? Hari lahirku baru sahaja berlalu minggu sudah tetapi tidak ada siapa yang mengingatinya. Ukhti Ida, selaku murabbiah seharusnya lebih prihatin dan peka. Kalau mahu lupa, lupakanlah semuanya. Tidak perlu wujud insan terpilih!
Tanpa kusedari, air mataku mengalir pilu. Aku rindukan mereka tetapi hatiku benar-benar sakit. Sakit mengenangkan saat duka bersama mereka. Aku sayang tetapi hati ini sentiasa rasa diabaikan. ‘Oh Tuhan, tunjukkan aku jalan,’ aku merintih sayu.
Ya! Rasa diabaikan, rasa tidak dipedulikan. Selaku murabbiah, Ukhti Ida tidak boleh berat sebelah. Besar sangatkah kesalahanku sehingga aku sering sahaja menjadi sasaran kemarahannya? Teruk sangatkah diriku sehingga pada kaca matanya, ada sahaja yang tidak kena dengan diriku. Kalau aku salah, tegurlah. Kalau aku silap, nasihatilah tetapi tegur dan nasihatlah dengan hikmah. Bukankah dakwah fardhiah ada menyebut tentang itu dan aku yakin, Ukhti Ida pasti lebih maklum dengannya.
“Ayang tak tidur?” Tiba-tiba aku ditegur suamiku. Hmmm… sama sekali aku tidak mampu membohonginya kerana nalurinya begitu kuat terhadap diriku. Mungkin dek keberkatan doa rabitah yang kami amalkan membuatkan Allah mengikat hati-hati kami. Bukan sahaja diikat, bahkan diperkuat lagi. ‘Terima kasih Tuhan atas kurniaan ini,’ aku segera mencelikkan mataku yang bundar.
“Mata ayang merah…”
“Tadi abang ajak ziarah mereka, ayang tak mahu. Kan sekarang dah berindu-rinduan,” entah dia mahu memujuk atau menyindirku. Aku tidak pasti tetapi aku tahu, segala apa yang lahir dari bibirnya adalah tulus dan ikhlas. Ia tulus mahu membuang ego dan perasaan marahku terhadap insan lain. Katanya, tidak tenang jika ada perasaan dendam. Aku tahu semua itu. Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah ada menyebut, “Jika mahu ceria, maafkan orang lain. Sebelum tidur, maafkanlah mereka yang ada menyakiti kita. Sebelum berpisah dari sebarang pertemuan, maafkan mereka yang ada tersilap kata dengan kita. Insya-Allah, hidup pasti ceria.”
“Hmmm…” ia mengeluh perlahan. Mungkin bosan melayan karenahku yang tidak pernah mahu mengalah.
“Sahabat adalah cerminan diri kita. Dia nampak silap kita dan sebagai teman yang baik, ia harus memperbetulkan kesalahan teman yang dikasihinya. Abe rasa, Ukhti Ida sayangkan ayang. Sebab itu dalam banyak-banyak mutarabbi, ayang yang kerap dimarahinya,” suamiku memulakan sesi tazkirah yang kedua. Aku hanya diam. Hatiku sedang bergelora sebenarnya. Tidak tahu sebab apa tetapi jantungku benar-benar sedang berdegup kencang. Seolah-olah dikejar pontianak dari Gunung Tahan.
Tidak! Tidak! Pontianak juga makhluk Tuhan. Buat apa aku takut? Kan aku ada Allah yang sentiasa dekat bersamaku dan Dia pasti kan mengawasi serta melindungiku. Buat apa aku perlu takut? Namun, kenapa jiwaku masih lagi meronta-ronta?
Dosa! Adakah ini tandanya aku sedang menambah dosa di dalam jiwa? Benar… Ukhti Ida pernah berkata satu ketika dahulu, “Mereka yang bermaksiat kepada Allah akan berasa tidak tenang. Dirinya gundah-gulana dan tidak tenteram…” ia diam seketika. Ukhti Ida memandang mataku dengan tajam tetapi ada kelembutan padanya.
“Bilamana seorang manusia itu berbuat salah,akan terpalit satu bintik hitam dalam hatinya…”
“Bilamana ia kekal melakukan kesilapan kepada Tuhan, bertambahlah bintik hitam itu…”
“Ia pula tidak sedaya upaya membersihkan hatinya dengan amalan-amalan yang boleh membawanya kepada Tuhan. Manusia yang lupa ini membiarkan dirinya terjerumus dengan dosa yang sedikit tetapi ingat! Jangan sekali-kali melihat kepada sikitnya dosa yang dilakukan tetapi pandanglah… kepada siapa dosa itu dibuat,” Ukhti Ida berkata dengan lembut. Bahuku diusap perlahan. Ada air yang mengalir dari kelopak matanya membuatkan matanya kemerahan. Aku hanya tunduk membisu. Ukhti Zue dan Ukhti Sue hanya menjadi pemerhati dalam sesi muhasabah di antara kami. Tiba-tiba, Ukhtie Zue yang terkenal dengan kelembutan hatinya turut sama mengalirkan air mata. Aku? Entahlah… aku pun tidak tahu mengapakah hatiku begitu keras. Mungkin sahaja lebih keras daripada batu bahkan telah dikonkrit dengan simen berkualiti tinggi.
“Apa pandangan abe tentang kami?” Aku memberanikan diri bersuara. Takut juga kalau-kalau suamiku merajuk.
“Hmmm…” suamiku berdengus perlahan.
“Macam abe kata tadi, mungkin sahaja silap faham. Manusia ni tidak ada yang sempurna yang. Dia bukan nabi yang maksum meskipun dia seorang pembela agama. Bezanya dengan orang biasa, mereka yang menghayati dan memahami agama ini tidak akan berasa rendah diri untuk mengakui kesalahannya…” diam seketika.
“Biasalah tu. Nasia kan maksudnya lupa. Jadi, manusia itu kadang-kadang lupa dan alpa. Kita juga pernah lupa kan?” Ia bertanya lembut.
“Kita lupa bahawa Allah ada…”
“Kita lupa ada yang mencatat kebaikan dan kejahatan kita. Atid dan Rakib bukannya duduk jauh, dekat sahaja dengan kita…”
“Dan yang paling penting, kita lupa bahawa hidup kita tidak lama…”
“Kita akan kembali kepada Tuhan. Mahukah kita bertemu dengan Dia yang Maha Agung dengan ada rasa dendam, benci, kecewa, marah terhadap makhluk ciptaan-Nya juga?” Suamiku meninggalkan aku dengan satu persoalan mudah tetapi hakikatnya, begitu sukar untuk dijawab. Aku hanya diam… kaku tidak mampu berkata-kata.
*****
Sebulan kemudian…
Kring kring… kring kring…
“Assalammualaikum, Adik ada?” Salam diberi. Macam kenal suara itu tetapi… ah! Mustahil aku akan dihubungi. Aku bukanlah siapa-siapa.
“Waalaikumussalam, Adik ni. Siapa tu?” Aku berpura-pura bertanya.
“Tak cam suara Ukhti Zue? Hmmm…” diam sejenak.
“Limaza ya ukhti?” Aku bertanya dalam Bahasa Arab, maksudnya, ‘Kenapa wahai saudariku?’
“Hmmm…” tiba-tiba ia mengeluh.
“Ada hal penting ke ni?” Aku bertanya lagi. Sebenarnya, jauh di sudut hati aku berasa riang tatkala mendengar suara itu tetapi syaitan sering kali membuatkan aku ragu-ragu. Perlukah aku berasa gembira dengan kehadiran mereka yang terlalu banyak menyakitiku? Jadi, aku berlagak biasa. Tidak seperti orang lain yang sudah berpisah lama dengan temannya. Pasti teresak-esak kegembiraan. Aku?
Aku yakin aku mampu menahan diriku daripada mengalirkan air mata di hadapan mereka dan aku pasti selepas gagang ini diletak, mataku pasti berkaca. Suamilah menjadi tempat aku meluah rasa. Ah! Ego benar insan yang bernama Nazihatul Hanan ini sedang namaku bermaksud ‘suci daripada perbuatan keji,’. Hanan pula membawa makna ‘kasih sayang,’ tetapi aku terus dengan kedegilanku dalam meluahkan rasa kasih dan sayang.
“Adik…” sayu benar suaranya.
“Ukhti Ida sakit tenat. Sekarang dirawat di ICU. Harapan untuk hidup 50-50. Adik kena segera hadir,” kali ini, Ukhti Zue menangis teresak-esak. Apa? Tidak! Aku tidak sanggup menerima berita ini. Aku bencikannya tetapi tidak pudar sedikit pun rasa sayangku terhadap dirinya. Dialah murabbiah terbaik dalam hidupku dan aku terlalu menyintainya... aku cinta dia kerana Allah.
“Insya-Allah, kalau free Adik pergi,” aku masih lagi mahu berlagak selamba sedang di dalam hati, hanya Tuhan yang tahu.
“Assalammualaikum,” kata Ukhti Zue tegas. Mungkin kecewa dengan respon yang kuberi.
Air mata yang kutahan-tahan tadi akhirnya gugur ke bumi. Apabila sudah masuk ICU, pasti keadaannya tenat…
“Abe, jom pergi KL. Ukhti Ida sakit tenat!” Aku berlari mendapatkan suamiku yang sedang asyik menonton drama bersiri China, ‘Fox volant of the snowy mountain,’.
“Apa?” Matanya yang sedia bulat dibulatkan.
“Sakit apa?” Tanyanya lagi.
“Jomlah… tak sempat nak terang ni,” aku segera masuk ke dalam bilik dan mengambil pakaian serta beg tanganku.
“Baik baik,” katanya lantas segera menutup televisyen.
“Afwan be,” aku menarik dan mencium tangannya. Aku tahu, aku agak kasar tadi.
“Abe kenal bini abe,” katanya sambil tersenyum.
“Abe maafkan ayang dunia akhirat,” tambahnya lagi. Lega…
Sesampainya kami di Kuala Lumpur, kakiku tiba-tiba menjadi kaku. Betulkah aku mahu menziarahinya? Nanti, orang ingat aku mengakui kesalahanku. Adakah aku bersalah dalam perhubungan ini?
“Jom cepat! Buat apa termenung lagi?” Suamiku menarik tangan kananku. Aku hanya menurutinya. Aku mahu melihat keadaan Ukhti Ida tetapi hatiku begitu berat berjumpa dengan teman-teman yang telah menyakiti hatiku.
“Adik…” Satu suara memanggilku. Ukhti Zue, Ukhti Sue, Azie dan Hada berlari anak mendapatkanku.
“Ukhti Ida…” diam. Semuanya kelihatan begitu sayu.
“Ukhti Ida telah meninggalkan kita selama-lamanya,” sebak-sebak Ukhti Sue menuturkan kata-katanya. Aku yang dari tadi berazam tidak mahu menangis di hadapan teman-temanku tidak mampu berlakon lagi. Air mataku mengalir jua akhirnya. Ukhti Zue segera memelukku erat.
“Kami sayangkan Adik kerana Allah,” bisiknya.
“Ukhti Ida bagi,” Azie menghulurkan sepucuk surat kepadaku.
“Dalam kesakitan, dia cuba menulis buat Adik,” Hada menambah. Aku mengambil surat itu lantas berlalu pergi meninggalkan teman-temanku yang terkebil-kebil sendiri. Aku tahu tindakanku salah tetapi aku tidak sanggup untuk berada dekat dengan mereka. Kalau dahulu, aku menangis sendiri, biarlah kini aku tetap menangis sendiri.
Assalammualaikum…
Adik yang akak kasihi fillah, bagaimana dengan kehidupan baru? Di kesempatan ini, akak mahu memohon sejuta kemaafan daripada Adik atas segala kesalahan yang akak lakukan, dalam sedar ataupun tidak. Afwan sayang seandainya akak terlepas pandang terhadap dirimu. Ketahuilah sayang, tidak ada sekelumit rasa bencipun diri akak terhadap Adik dan percayalah, nama Adik sering akak sebut dalam doa akak. Moga Adik berjaya di dunia dan akhirat. Moga-moga Adik bahagia dengan pilihan yang telah Adik buat. Adik memang jauh di mata akak tetapi yakinlah, hati akak sentiasa dekat bersama Adik.
Sayang fillah, Ukhti Ida.
Tanpa sedar… aku rebah ke bumi. ‘Maafkan Adik, ukhti,’ aku berkata perlahan. Air mataku masih mengalir laju, tidak ada tanda mahu berhenti.
salam akk..entri yg bgus..mabruk~
subhanalllah..
Tinta ini ditatap degn penuh rendahdiri...ku temui kendiri..inilah hikmahnya dlm jamaah namun sehebat manapun kita tetap manusia yang ada perasaan...
Namun Muthiah juga kental ego rupanya..tapi ats nama ukhuwahfillah kini segalanya telah dibuang..Terharunya dgn ucap doa ukhti ida...semuga sekarang muthiah juga mandoakan almarhumah..:)al fatihah
subhanallah...tersentuh baca cerita muthiah ni..smg terus bjaya...
terima kasih, tie ;)