Mencari Naurah (Bab 43)

Novel | Mencari Naurah



‘SESUNGGUHNYA mereka yang mengatakan, “TUHAN kami ialah ALLAH,” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka. Maka, malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan, “Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang telah dijanjikan ALLAH kepadamu,”,’ al-Fussilat ayat 30.

Sari pati ‘janganlah merasa sedih’ aku pegang erat-erat. Benar kata Kak Rose... bila kita kebuntuan, carilah ALLAH. Jadikan tafsir al-Quran sebagai teman yang paling akrab. Tatkala kelapangan, beleklah ia. Mungkin ada tarbiah daripada ALLAH buat kita di dalamnya.

Surah al-Fussilat aku baca dengan penuh perasaan. Air mataku jatuh satu per satu. Meskipun tidak memahami maksudnya, hatiku tersentuh tatkala mengalunkan kalimah suci ini.

Dari satu sisi, aku melihat bahawasanya bangsa Arab merupakan bangsa yang paling beruntung. Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib telah dilahirkan di Kota Mekah. Dibesarkan di Kota Mekah bahkan junjungan mulia itu juga telah menyebarluas dakwah di Kota Mekah. Paling utama, ketundukan Mekah kepada Islam menandakan suku Arab yang menentang agama ALLAH ini jatuh ke tangan Islam. 13 Ramadhan tahun kelapan Hijrah melakar sejarahnya sendiri apabila Mekah berjaya dibuka oleh umat Islam (futuh Makkah). Takbir!!

Bukankah menjadi satu kebanggaan bagi seseorang apabila bahasa kitab yang paling suci itu diturunkan dalam bahasa yang dituturkan sehari-hari (yakni Bahasa Arab)? Bukan Bahasa Melayu, Inggeris mahupun Perancis. Aku sendiri perlu membaca terjemahan untuk memahami apa yang terkandung di dalamnya. Mereka? Sekali pandang sudah memahami pengertiannya.
Argh... aku juga beruntung kerana dilahirkan sebagai seorang Muslim dan iman masih lagi bertapak di dalam dada. Berapa banyak bangsa Arab yang sudah lupa terhadap tanggungjawab mereka selaku Muslim?



Mereka membaca al-Quran, mengerti maksudnya tetapi mungkin sama sepertiku yang tidak menghayati dan memahami segala sesuatu yang telah ditetapkan oleh-NYA. Kalau tidak, masakan mereka sanggup bertelagah sesama sendiri berbanding membantu saudara seagama mereka. Lihat sahaja apa yang berlaku di Palestin.

Orang tua, kaum wanita, anak-anak dizalimi tanpa perikemanusiaan. Memang, mereka berjasadkan seorang insan tetapi memiliki hati yang lebih ganas daripada binatang. Sang ular tidak akan mematuk manusia melainkan merasa diri terancam tetapi Israel yang dilaknat ALLAH memerangi nyawa tanpa sebab yang munasabah. Alasan yang diberi, mahu menghapuskan pengganas. Mahu menangkap Hamas namun hakikatnya mereka sebenarnya mahu melenyapkan Muslim di Palestin dari atas muka bumi ini.

Air mataku mengalir semakin deras. Pilu mengenangkan saudaraku yang hidup dalam ketakutan. Bila-bila masa sahaja nyawa boleh melayang dek tindakan manusia yang merasakan diri mereka besar.

Mereka mungkin lupa bahawa mereka mungkin besar di kalangan manusia tetapi begitu kerdil di hadapan TUHAN. Tunggu sahaja ALLAH SWT mengatakan kunfayakun, maka jadilah. Kemenangan Islam itu pasti tiba. Aku tersenyum dalam tangisan.

“Apabila datang pertolongan ALLAH dan kemenangan; dan kamu lihat manusia masuk ke dalam agama ALLAH dengan berbondong-bondong; maka bertasbihlah dengan memuji TUHAN-mu dan mohonlah ampun kepadanya. Sesungguhnya DIA adalah Maha Penerima Taubat...” kata-kata Anuar berlegar-legar dalam kotak pemikiranku. Hmm.. lelaki ini kadang-kadang bisa sahaja menghiburkan aku yang sedang gundah. Aku tersenyum sendiri.

Muhasabah tanpa sedar itu membuatkan aku semakin tenang. Sebagai seorang manusia yang berada di bawah naungan TUHAN-nya, aku perlu kuat. Tidak patut aku membazirkan masa menangisi sesuatu yang telah ditentukan oleh ALLAH. Ada lagi perkara yang lebih penting untuk aku fikirkan.

Sesungguhnya pertemuanku dengan Asyraf berlaku dengan izin-NYA. DIA menetapkan aku mengenali seorang lelaki berperibadi mulia seperti Asyraf. DIA yang menumbuhkan rasa kasih itu. Dengan kata lain, DIA-lah yang menemukan dan DIA jua yang memisahkan. DIA berhak kerana DIA adalah PENCIPTA yang memiliki segala apa di atas muka bumi ini.

Bertemu, berkenal-kenalan... kemudian jatuh cinta! Salah siapa pertemuan itu? Aku tahu, pertemuan itu bukan sahaja-sahaja tetapi ada yang tersirat di sebaliknya. ALLAH mahu mengujiku. Sejauh mana aku meletakkan keyakinan, pergantungan dan pengharapanku kepada-NYA, ALLAH yang Maha Esa.

DIA mahu aku berfikir tentang kebesaran dan kekuasaan-NYA dalam meletakkan ketetapan. Bukankah qadak dan qadar itu adalah milik ALLAH? Firman ALLAH dalam surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud, ‘Adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan berkata, “Kami telah beriman” sedang mereka tidak diuji?’ Benar! Mana mungkin aku mengakui aku beriman sedang ALLAH tidak pernah mendugaku.

Wajah Datin Khatty dan Tengku Amalin datang bersilih ganti. Mereka juga hadir dalam hidupku dengan izin TUHAN. DIA yang menetapkan pertemuan kami baru-baru ini. Dengan izin-NYA juga, aku dihina dengan pedih sekali.

Aku merenung Yahoo Messenger yang sudah lama sepi tanpa mesej daripada kawan-kawan. Meskipun tidak mengharapkan kehadiran siapa-siapa, aku tetap mahu menanti. Mana tahu… aku bisa mendapat tarbiah Ilahiyah di sini, daripada teman mayaku. Sebelum ini, acap kali juga aku menerima tazkirah melalui mesej luar talian. Tiba-tiba, aku ditegur seseorang!!!
Shinichi : Salam. Ada orang? (Diam)

Aku bertekad untuk menjauhkan diri daripada Asyraf. Dia dan aku umpama langit dengan bumi. Kami tidak sekufu. Patut pun Asyraf nampak tidak kekok berhadapan dengan orang besar di kampus. Kehidupannya dikelilingi oleh mereka yang berdarjat tinggi. Aku? Siapalah aku jika hendak dibandingkan dengannya.

Bak kata Datin Khatty, ibuku bekerja kampung. Ayahku sudah meninggal dunia sebelum sempat mendapat gelaran ‘datuk’. Rumahku usang dan penampilanku tidak mengikut perkembangan semasa, seperti golongan VIP lainnya.

‘Aku juga VIP,’ aku berkata sendiri. Very important person! Aku adalah khalifah di atas muka bumi. Aku berperanan untuk mengajak manusia kepada kebaikan, memakmurkan alam dan mengabdikan diriku kepada ALLAH.

‘Kira orang pentinglah begitu,’ aku tersenyum.

‘Bangkit, Natasha. Masih banyak nyawa yang memerlukan perhatianmu,’ pujuk hatiku lagi sambil mengangkat tangan kanan dengan penuh bersemangat. Kalau Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama mengangkat tangan sambil melaungkan, ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali. Aku pula melaungkan takbir. Entah berapa kali.

~bersambung~
2 Responses
  1. Assalamualaikum. Wah, kagum sekali membaca setiap bait-bait kata dalam novel akak itu. Mahu mendapatkannya!

    Salam perkenalan, salam ukhuwah, salah puisi... Kak Muthiah. :)


  2. Siti Muthiah Says:

    Waalaikumussalam, Suhada. Alhamdulillah. Moga mendapat input positif daripadanya.

    Ehe. Oleh sebab novel NUR Islamik Alaf 21 sukar didapati di kedai-kedai buku, jika mahu... Suhada bolehlah dapatkannya dengan akak, insya-ALLAH ~ http://siti-muthiah.blogspot.com/2012/06/dapatkan-buku-karya-muthiah.html ^_^

    Okey. Salam ukhwah fillah. Moga kita saling mengingatkan (bilhikmah) dan berusaha sungguh-sungguh untuk menjadi hamba ALLAH yang baik...lebih baik dan terbaik! Insya-ALLAH :)