Mencari Naurah (Bab 6 - Samb.)

“Ya, Natasha?” tanya Anuar.

‘Hisy... aku bukan nak tanya awak pun,’ aku mengomel sendiri.

“Bagaimana kita mahu berhadapan dengan seorang individu yang bercakap kasar dengan ibunya? Dengan kata lain, dia semakin melampau dan keterlaluan. Bukahkah dalam surah al-Israk ayat 23...” aku diam seketika. Ingin mengingat kembali maksud ayat tersebut.

“... Sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah perkataan yang mulia,” Asyraf menyambung.

Dia berkata lagi, “Kita perlu menasihatinya dengan hikmah... Jika dia berkasar, kita tidak boleh berkasar dengannya. Api lawannya air. Seandainya kita menggunakan api untuk berhadapan dengan api, keadaan akan menjadi lebih teruk. Akibatnya terbakar dan memusnahkan diri...

Ambil contoh konsep dakwah fardhiah yang dinyatakan Syeikh Mustafar Masyhor... Bermula dengan membina hubungan dengan individu yang hendak kita dakwahkan. Kemudian, bangkitkan persoalan iman secara tidak langsung. Seterusnya, bantu sasaran dakwah itu memperbaiki dirinya dengan memperkenalkan perkara-perkara yang berorientasikan ketaatan kepada ALLAH serta bentuk-bentuk ibadah yang diwajibkan...

Sudah kenal, akan lahir rasa cinta. Meskipun mengambil masa, kesabaran pasti akan membuahkan hasil. Kita tidak boleh menjangka bahawa kitalah yang boleh mengubah dia sebab hidayah itu hanya daripada ALLAH. Yang penting, kita tidak berputus asa dan terus menyeru kepada kebaikan secara hikmah. Ajak seseorang untuk taat kepada ibu bapa juga merupakan satu dakwah...” jelas Asyraf.

‘Benar... Bukan mudah untuk menjadi seorang pendakwah yang mapan. Pendakwah itu seharusnya tidak mudah melatah... tidak mudah naik angin mahupun marah. Rasional yang berlandaskan syariat perlu diletakkan di hadapan tetapi aku? Aku sering kali berputus-asa. Acap kali aku berasa kecewa. Ya! Aku tidak cukup kuat untuk membawa ahli keluargaku kepada ALLAH. Masih ada sisi-sisi kelemahan yang tidak mampu aku atasi. ‘TUHAN... ampunilah segala dosaku.’ Air mataku mengalir perlahan. Aku memuhasabah diriku sendiri...

Aku perlu kembali kepada sirah perjuangan Rasulullah. Lihat sahaja contoh teladan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Baginda tetap bersabar, namun di sebalik kesabarannya, Muhammad bin Abdullah tetap tegas dalam melaksanakan hukum TUHAN.

“Setiap manusia itu lemah... Tidak kira sama ada ia seorang pendakwah ataupun orang awam... Kekuatan yang ada hanyalah daripada ALLAH dan dia perlu kembali kepada PENCIPTA. Jadi, kembalilah kepada Tuan Punya alam ini tanpa teragak-agak,” sambung Asyraf seolah-olah sedang memotivasi aku untuk tidak cepat melatah. Aku cuba merenung kembali...

~bersambung~

0 Responses