Kisah Tijah dan Mamat | Kawin lagi!

Assalammualaikum. Lamanya tidak menjengah. Ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan sebelum semester baharu pembelajaran bermula.

UKM aku datang!!! 

Ditambah dengan kelajuan internet yang agak _______ (sila isi sendiri). Maka, dibiarkan sahaja teratak indah ini bersepian (betulkah penggunaan kata ini?) tanpa teman. Menangis dan ketawa sendirian (sendiri aku sendiri). Muthiah... sekiranya bersepian tatkala suami sibuk dengan urusan, Muthiah selalu bercakap di hadapan suami, "Dinding, dinding... hari ni tak tahulah nak cakap dengan siapa?" Tiba-tiba, nah... suami menjawab mewakili dinding, "Nak cakap apa?" Okey... <- font=""> Ini adalah merapu!

Masih ingat dengan Tijah dan Mamat? Baik. Hari ini Muthiah sambung kisah mereka. 

Kisah Tijah dan Mamat | Kawin lagi!

Mata Tijah membulat. Serius benar dia membaca kisah seorang wanita yang dimadukan suami. Penghayatan Tijah  pada cerita yang dibaca jelas tergambar di wajah. Ketara benar. Habis berkerut dahinya macam tengah menjawab soalan peperiksaan Fizik tingkatan lima.

Baru menikah sebulan, kahwin lari dengan bini nombor dua di Siam!

Mood Tijah yang baik-baik sepanjang serta-merta menjunam. Banyak perkara berlegar-legar di benak. Pelbagai imaginasi menerobos otak. 

'Kasihan isteri tua,' bisik hati kecil Tijah. 

Sedang asyik Tijah melayan perasaan sendiri...

Jeng jeng jeng....

"Jauh mengelamun," Mamat yang entah sudah berapa lama berdiri di belakang Tijah menegur lembut.

Tijah tersentak kecil. Dia memandang tepat wajah suaminya itu. Tidak lama, dia berkalih ke arah monitor komputer pula. Wajah lelaki yang sanggup membawa anak dara orang menikah di Sempadan Thailand ditenung tajam. Muncung Tijah yang bak itik serati ketara kelihatan.

"Kenapa mencuka saja ni?" Mamat bertanya sungguh-sungguh.

Tijah merenung semula wajah suaminya. Kacak. Tidak mustahil kalau ada anak dara yang TER jatuh cinta. Bukan hanya kacak, tidak Tijah nafikan. Suaminya juga seorang yang ada gaya, baik hati pula. Tijah kembali berada di awangan.

"Awak..." Mamat menyentuh bahu Tijah perlahan.

Tijah mengeluh kecil.

"Awak..." ujar Tijah dengar tidak dengar.

Mamat mengukir senyum nipis.

"Ya, awak," balasnya pendek.

Tijah menghembus nafas lagi.

"Kalau tiba-tiba... Ada anak raja. Kaya. Cantik. Berpelajaran. Lembut. Menutup aurat. Dia datang melutut depan awak. Dia nak sangat menikah dengan awak. Dia jatuh cinta dengan awak. Awak terima tak?"

Mamat menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

"Ke..."

Belum sempat Mamat bertanya lanjut, Tijah menambah, "Kalau awak tak terima, awak akan dihukum buang negeri. Bukan awak seorang tetapi sesiapa sahaja yang dekat dengan awak."

Mamat mengangguk-angguk. Dahinya berkerut seribu. Soalan yang dinamakan sebagai 'Soalan cari penyakit' ini memang sudah agak lama tidak diajukan isterinya. Mata Mamat mengerling ke arah monitor komputer. 

'Patut pun,' desis hati kecil Mamat.

Tijah tidak berkedip memandang anak mata Mamat. Dengan tidak semena-mena, hatinya berasa sebak. Tijah dapat merasakan kehancuran hati sendiri. Kehilangan orang tersayang terasa menghampiri diri. 

"Saya akan minta anak raja dan raja tu jumpa awak. Terpulanglah awak nak selesaikan macam mana," ujar Mamat lalu beredar dari situ.

Tijah terkebil-kebil mendengar jawapan suaminya. Jauh di sudut hati, bukan jawapan itu yang dikehendakinya.

Nota : Gambar tidak mampu dimuatkan kerana kelajuan internet yang _________ (sila isi sendiri).


0 Responses