Jatuh Bangun Seorang Aku (6)

 

“Sampaikan walau satu ayat.”

Sejak dari awal pembabitanku dalam dunia penulisan, selain hendak mencari duit poket sendiri, aku turut meletakkan matlamat bahawa aku ingin berdakwah menerusi mata pena. Ya. Aku ingin menyebarkan kebaikan menerusi karya. Bukan itu sahaja, bahkan aku ingin mendidik masyarakat melalui penulisan. Bukankah setiap manusia yang mengucapkan kalimah syahadah adalah seorang pendakwah? Maka, hendak tidak hendak… mahu tidak mahu, perlu dan mesti menyebarluas kebaikan dan kebajikan dalam apa jua keadaan dan kaedah. Setiap manusia pula mempunyai kelebihan dan kemampuan yang berbeza. Tepuk dada, tanya iman. Buatlah semampunya.

Jika bijak berkata-kata, berdakwahlah menerusi tutur bicara.

Jika boleh menulis dan berkarya, berdakwahlah melalui mata pena.

Dalam masa yang sama, tunjukkanlah contoh yang baik menerusi tindakan dan teladan. Bukankah Allah ada berfirman yang bermaksud, “Amat besar kebenciannya di sisi Allah bilamana kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah As-Saf, 61:3).

Bagiku, setiap apa yang aku lakukan pasti akan dipersoalkan Allah. Jika kebaikan yang aku sebarluaskan, kebaikan itu akan kembali kepadaku. Begitu jualah jika sebaliknya. Keburukan yang aku ajarkan kepada masyarakat turut menyumbang terhadap sahamku pada hari akhirat kelak.

Mencari Naurah berkisar tentang hati dan perasaan. Dalam novelku yang pertama ini, aku cuba paparkan kisah seorang gadis yang berusaha untuk menjaga hati demi mendapat reda Ilahi. Di samping itu, aku juga cuba tonjolkan perihal kebergantungan seorang manusia kepada Penciptanya. Air Mata Siti Hajar pula menceritakan kisah seorang isteri yang taat. Namun, rebah apabila diuji dengan dugaan yang sangat perit. Ayah, Amir nak masuk U! dan Ayah, Amir nak jadi doktor! merupakan novel remaja yang mengisahkan kesungguhan seorang remaja yang tidak pernah berputus asa untuk mengejar cita-cita bergelar seorang doktor. Sementara itu, menerusi Dia Diktator Hatiku aku cuba mengenengahkan persoalan ikhtilat di tempat kerja. Dalam Kasihnya Ayah dan Kasihnya Ibu pula, aku cuba mengangkat jasa dan pengorbanan seorang ayah ibu manakala Sungai Tong menyorot kisah hubungan kekeluargaan yang retak tetapi tidak akan terputus dek kerana air… sama sekali tidak boleh dicencang.

0 Responses